Kepakaran & Pakej
Pengkhususan Perubatan

Memahami Konjunktivitis (Mata Merah)

gleneagles-conjunctivitis

Konjunktivitis, istilah perubatan untuk mata merah, berlaku apabila konjunktiva mengalami radang atau dijangkiti. Konjunktiva adalah membran jernih yang meliputi bahagian putih bola mata dan melapisi bahagian dalam kelopak mata.


Simptom Konjunktivitis

Simptom mata merah mungkin kelihatan serupa dengan masalah perubatan lain; oleh itu, anda harus sentiasa berunding dengan doktor anda untuk diagnosis yang tepat:

  1. Sensasi berpasir pada sebelah atau kedua-dua belah mata.
  2. Kegatalan dan kerengsaan mata.
  3. Kelopak mata bengkak.
  4. Kelopak mata dan bulu mata berkerak (bertahi mata), terutamanya apabila bangun pada waktu pagi.
  5. Mata seperti menangis dan berair.
  6. Cairan mata yang mungkin berwarna kuning, hijau, putih, atau jernih.

Punca-punca

Bakteria, virus, dan alergen adalah penyebab konjunktivitis yang paling biasa Penyebab konjunktivitis yang kurang biasa termasuk perengsa seperti memakai kanta lekap, pendedahan kepada bahan kimia, objek asing dalam mata seperti sehelai bulu mata, pencemaran, kulat, amoeba, dan parasit.

Sekiranya bayi baru lahir disyaki mengalami konjunktivitis, dapatkan rawatan perubatan dengan segera. Bayi yang baru lahir dengan mata merah mungkin menunjukkan saliran mata dalam beberapa hari hingga minggu selepas kelahiran, dengan kelopak mata bengkak, merah dan lembut.

Mengenal pasti apa yang menyebabkan bayi baru lahir mempunyai mata merah boleh menjadi sukar kerana simptom yang serupa dikaitkan dengan setiap punca yang mungkin, seperti saluran air mata bayi yang baru lahir tersumbat, kerengsaan daripada antimikrobial topikal yang diberikan semasa kelahiran, atau jangkitan yang disebarkan daripada ibu kepada bayi semasa bersalin.

Ibu tanpa simptom semasa bersalin boleh membawa dan menyebarkan bakteria atau virus kepada bayi yang baru lahir semasa kelahiran.


Bagaimana Konjunktivitis Merebak

Virus dan bakteria tertentu sangat berjangkit dan boleh merebak antara manusia. Ini termasuk sentuhan langsung yang rapat dengan menyentuh atau berjabat tangan, bersentuhan dengan titisan batuk atau bersin, menyentuh mata dengan tangan yang tercemar dengan bakteria atau virus, dan menggunakan barangan tercemar seperti tuala, kain lap atau alat solek mata.


Diagnosis

Konjunktivitis biasanya didiagnosis menggunakan gabungan sejarah perubatan, pemeriksaan fizikal, dan kadangkala ujian tambahan.

Semasa pemeriksaan fizikal, doktor anda akan memeriksa mata, kelopak mata, dan kawasan sekitarnya menggunakan instrumen berlampu. Pemeriksaan ini untuk menilai tahap bengkak dan kemerahan di dalam dan di sekeliling mata anda dan memerhatikan jenis dan kuantiti cairan (jernih, kuning, atau hijau) dari mata anda.

Ujian tambahan akan termasuk swab mata, di mana sampel cairan mata boleh dikumpul untuk analisis makmal bagi menentukan punca tertentu, seperti bakteria atau virus. Pewarnaan fluorescein juga boleh dilakukan, di mana pewarna boleh digunakan pada mata untuk memeriksa kornea melecet atau kecederaan lain. Ujian darah mungkin dijalankan dalam sesetengah kes yang jarang berlaku untuk menentukan jangkitan atau keadaan sistemik.


Pilihan rawatan

Merawat konjunktivitis bergantung pada apa yang menyebabkannya pada mulanya-sama ada bakteria, virus, alahan, atau perengsa.

Jenis-jenis konjunktivitis

Cara ia dirawat

Konjunktivitis yang merengsa

  1. Hilangkan perengsa dengan membilas mata dengan garam atau air bersih.
  2. Elakkan pendedahan kepada perengsa.
  3. Air mata tiruan untuk mengurangkan simptom dan melincirkan mata.

Konjunktivitis akibat virus

Oleh kerana konjunktivitis akibat virus biasanya sembuh dengan sendirinya, rawatan yang utamanya bertujuan untuk mengurangkan simptom.


  1. Air mata tiruan untuk meredakan kekeringan dan kerengsaan.
  2. Tekap dengan beg air sejuk untuk mengurangkan bengkak dan ketidakselesaan.
  3. Ubat antivirus mungkin diperlukan dalam kes serius yang disebabkan oleh virus herpes simplex.

Konjunktivitis dari alahan

  1. Elakkan alergen yang mencetuskan tindak balas.
  2. Antihistamin yang dimakan atau titisan mata antihistamin digunakan untuk mengurangkan tindak balas alahan.
  3. Penggunaan titisan mata kortikosteroid dalam jangka masa pendek mungkin boleh dipreskrip dalam kes-kes yang serius.

Conjunktivitis kerana Bakteria

  1. Ubat titis mata atau salap antibiotik biasanya dipreskripsi untuk menghilangkan jangkitan bakteria. Penambahbaikan biasanya dilihat dalam beberapa hari.
  2. Pesakit dinasihatkan untuk mengamalkan langkah-langkah penjagaan kebersihan yang baik, yang melibatkan mengelakkan menyentuh mata mereka, dan kerap mencuci tangan.

Tip Penjagaan Umum

  1. Anda tidak seharusnya memakai kanta lekap sehingga konjunktivitis hilang.
  2. Berkongsi barangan peribadi seperti tuala, sarung bantal, atau solek mata harus dielakkan.
  3. Kerap membasuh tangan anda dan jangan sentuh mata sama sekali.
  4. Untuk mengelakkan pencemaran, buang sebarang solek mata atau kanta lekap yang digunakan semasa jangkitan berlaku.

Walau bagaimanapun, jika simptomnya serius atau tidak bertambah baik dengan rawatan di kaunter, atau jika anda mengalami rasa sakit yang teruk, masalah penglihatan atau kepekaan cahaya, dapatkan rawatan perubatan dengan segera.


Mencegah Konjunktivitis

Jika anda berada berdekatan dengan seseorang yang menghidap konjunktivitis, berikut adalah langkah-langkah yang boleh anda ambil untuk mengurangkan risiko jangkitan anda:

  1. Kerap membasuh tangan anda menggunakan sabun dan air suam. 
  2. Elakkan menyentuh mata anda dengan tangan yang tidak dicuci.
  3. Jangan berkongsi barang peribadi yang digunakan oleh individu yang menghidap konjunktivitis, seperti bantal, kain lap, tuala, alat solek mata atau muka, berus solekan, kanta lekap, bekas penyimpanan kanta lekap atau cermin mata.

Atur Temu Janji di Hospital Gleneagles

Dapatkan rawatan perubatan daripada doktor kami jika anda mempunyai simptom-simptom konjunktivitis. Pasukan pakar oftalmologi yang berdedikasi dan di Hospital Gleneagles bersedia untuk berunding bagi memberikan penjagaan dan bantuan yang terbaik.

Hubungi kami untuk menempah temujanji hari ini jika anda mempunyai kebimbangan atau pertanyaan mengenai konjunktivitis atau mata merah. Kami menjamin penjagaan yang terbaik, dan khusus untuk keperluan spesifik anda.

Loading...

Wait a minute